Smiley face

Umat Islam Rugi Berbilion Ringgit kerana Harta Pusaka_Utusan Malaysia 20/01/2014



Umat Islam rugi berbilion ringgit kerana harta pusaka

DI Malaysia dianggarkan terdapat lebih 1 juta kes pusaka yang bernilai lebih RM52 bilion belum diselesaikan.

Tertunggak yang dimaksud ialah harta masih di atas nama simati dan belum dituntut oleh waris yang berhak. Majoriti dari harta pusaka yang belum selesai ini pula adalah milik orang Islam.

Kenapa pula keadaan ini berlaku sedangkan Islam memberikan garis panduan lengkap mengenai pembahagian harta pusaka melalui Al-Quran , al-Hadis dan Ijmak Ulama? Saya sangkakan keadaan ini berlaku kepada umat Islam Malaysia sahaja namun apabila saya bertanya kepada rakan-rakan yang beramal di negara serantau, saya dapati di negara mereka masalah yang sama juga berlaku.

Apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Dari pengalaman 15 tahun saya di dalam bidang ini, faktor pertama ialah kerana ketidakfahaman waris itu sendiri terhadap Hukum Faraid. Apabila saya bertanya, saya dapati 95 peratus waris tidak tahu siapakah sebenarnya yang berhak ke atas harta pusaka. Ini menyebabkan wujud perbalahan di antara waris. Orang yang tidak berhak menuntut manakala waris yang berhak pula kadang-kadang diketepikan. Oleh kerana perbalahan berterusan dan waris gagal bermuafakat, akhirnya harta pusaka ini terbiar begitu sahaja.

Tidak kurang juga orang berkata, "biarlah dulu, tanah kubur pun masih merah lagi. Tak payah kita nak berebut-rebut harta pusaka." Apa yang tidak mereka ketahui ialah persoalan ini bukan tentang warna tanah kubur atau kerana berebut harta pusaka. Sebaliknya, berkaitan hak waris yang terlibat. Sekiranya kes pusaka ini dibiarkan sehingga puluhan tahun lamanya (sebab nak tunggu tanah kubur tukar warna!), jumlah waris yang terlibat pun semakin ramai malah ada yang mencecah sehingga ratusan orang.

Saya sudah biasa bertemu dengan waris yang membawa geran tanah yang masih tertera nama arwah moyang atau datuk yang telah meninggal dunia berpuluh tahun yang lepas! Malah saya pernah dikunjungi waris yang membawa Wasiat moyangnya yang meninggal dunia pada tahun 1898 untuk diselesaikan! Kes pusaka seperti ini memang sukar untuk diselesaikan.

Selain daripada itu, faktor proses perundangan menuntut harta pusaka rumit yang melibatkan undang-undang Sivil dan Syariah juga menyebabkan waris-waris berfikir panjang untuk bertindak. Kebanyakan waris tidak tahu apa proses yang mesti didahulu atau dikemudiankan dan mereka juga tidak tahu ke mana harus mereka tuju. Akibatnya kes pusaka ini terbiar begitu sahaja.

Oleh kerana proses perundangan menuntut harta pusaka ini rumit dan memakan masa, ada waris mengambil langkah menggunakan perkhidmatan profesional pihak ketiga seperti peguam dan syarikat amanah. Dalam keadaan tertentu, sekiranya kes pusaka ini rumit dan melibatkan jumlah harta yang banyak, kos pengurusan pusaka yang dikenakan oleh pihak ini pula mahal di antara 1 peratus sehingga 5 peratus dari nilai harta pusaka tidak termasuk kos-kos lain seperti fi buka fail, carian, rampaian, perjalanan dan sebagainya. Dalam banyak keadaan, fi ini sama ada perlu dibayar oleh waris atau ditolak dari nilai harta pusaka. Fi sebanyak ini pula bukanlah satu perkara yang menyalahi undang-undang kerana Akta Probet telah menetapkan bahawa pihak yang menguruskan harta pusaka boleh mengenakan caj sehingga 5 peratus dari nilai harta pusaka. Jadi waris yang merasa terbeban dengan kos yang mahal ini, akan membiarkan sahaja kes pusaka ini tanpa diselesaikan.

Bagaimana pula umat Islam rugi akibat harta pusaka yang tidak diuruskan ini ? Harta pusaka seperti tanah yang di dalam gerannya masih tertera nama simati, tidak boleh dibuat apa-apa transaksi ke atasnya sehinggalah kes pusaka itu diselesaikan dengan nama simati dikeluarkan dan nama waris yang berhak dimasukkan. Oleh itu selagi kes pusaka ini tidak diuruskan, waris tidak boleh menjual, memajak atau memajukan tanah tersebut. Harta pusaka di dalam bentuk tunai pula yang bernilai jutaan ringgit disimpan di bawah Akta Wang Tidak Dituntut, juga boleh membantu waris dan memantapkan ekonomi mereka sekiranya dapat diwariskan dengan segera.

Bayangkan RM52 bilion nilai harta pusaka yang terbeku ini bukanlah nilai yang sedikit. Sekiranya ia boleh diuruskan dan disuntik semula ke dalam ekonomi umat Islam, pasti dapat membantu meningkatkan ekonomi waris sekali gus ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Satu contoh harta pusaka di dalam bentuk hartanah yang berpotensi besar untuk dimajukan tetapi terhalang kerana isu pewarisan ialah tanah-tanah di Kampung Baru Kuala Lumpur. Walaupun nilainya sangat tinggi, jumlah waris yang ramai terlibat menyebabkan permuafakatan sukar dicapai.

Sebenarnya penyelesaian kepada isu ini mudah sahaja. Sebaik berlaku kematian, waris-waris hendaklah segera menyelesaikan kes pusaka kerana jumlah waris masih sedikit dan lebih mudah dimuafakatkan. Bagi umat Islam yang masih hidup pula, mereka boleh mengambil langkah proaktif merancang pewarisan harta melalui Hibah, Wasiat, Harta Sepencarian atau Amanah. Harta yang telah dirancang lebih mudah untuk diagih dan diurus serta pastinya akan memanfaatkan ekonomi generasi yang akan datang.

ARIFFIN SABIRIN

Ketua Pegawai Eksekutif

Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140120/ek_04/Umat-Islam-rugi-berbilion-ringgit-kerana-harta-pusaka#ixzz2wbt5C4z7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Share on Google Plus

About azizie

Penulis berpengalaman luas dalam pengurusan dan perancangan harta pusaka Islam. Pernah mengikuti Kursus Pengajian Syariah Sepanjang Hayat anjuran Fakulti Pengajian Syariah, UKM. Kini sedang menuntut Pengajian Fiqh Mawarith di UIAM.

0 comments :

Post a Comment