Smiley face

Penyelesai Kemelut Pusaka_Utusan Malaysia 12/11/2013


Penyelesaian Kemelut Harta Pusaka

Walaupun Sarah mempunyai keluarga yang sangat mengambil berat tentang diri dan anak-anaknya. Namun di saat Sarah cuba untuk bangun dan membina semula kehidupan, kesulitan melanda apabila mengalami masalah aliran tunai setelah kematian Adam.

Ini kerana segala harta peninggalan arwah seperti hartanah dan saham-saham syarikat yang tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran telah dibekukan.

Tambahan pula proses tuntutan harta pusaka adalah rumit dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan.

Walau bagaimanapun, Sarah bernasib baik kerana arwah suaminya dari awal lagi telah membuat perancangan harta pusaka. Ini bagi memastikan sumber kewangan isteri dan anak-anaknya agar terus terjamin sekiranya sesuatu yang buruk menimpa dirinya.

Arwah sememangnya sedia maklum bahawa proses tuntutan harta akan mengambil masa untuk diselesaikan dan masalah ini akan menjejaskan aliran tunai ahli keluarganya.

Apabila Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan Hibah Amanah untuk orang Islam dan Pengisytiharan Amanah untuk bukan Islam, Adam sebagai salah seorang pemegang unit ASNB merupakan antara orang yang pertama membuat permohonan untuk pelaburannya dalam dana amanah yang diuruskan oleh ASNB.

Kedua-dua kemudahan tersebut membolehkan dana-dana unit amanah ASNB peninggalan si mati diagihkan kepada penerima Hibah atau Pengisytiharan Amanah selepas kematian pemegang unit seperti Adam.

Oleh itu, 21 hari selepas makluman dibuat kepada ASNB tentang kematian Adam, pelaburan arwah dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) telah diagihkankan kepada Sarah (sebagai penerima) dan ketiga-tiga orang anaknya (di mana Sarah dilantik sebagai penjaga sah), sekali gus melegakan beban kewangan yang ditanggung Sarah dan membolehkannya untuk meneruskan kehidupan baru.

Itu merupakan senario yang lazimnya menimpa individu daripada pelbagai latar belakang sama ada orang Islam atau bukan Islam, yang berhadapan dengan kekangan kewangan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada ketua keluarga.

Tanpa perancangan harta pusaka, tidak ramai yang melalui penyelesaian harta pusaka secara cepat dan berkesan seperti yang dilalui Sarah.

Kebanyakan waris si mati terpaksa melalui proses rumit dan panjang serta kos yang tinggi untuk membuat tuntutan harta pusaka si mati.

Sementara itu, ramai juga yang terperangkap dengan perbalahan sesama waris atau tuntutan bertindih yang mengakibatkan kebanyakan kes-kes tuntutan harta pusaka tertangguh atau tidak dapat diselesaikan untuk jangka waktu yang lama.

Berdasarkan kepada angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada September lalu, masyarakat Islam di Malaysia mempunyai harta pusaka yang tidak dituntut sebanyak RM66 bilion, dengan RM60 billion adalah harta tidak alih dan RM6 bilion harta cair ataupun harta tunai.

Secara puratanya, nilai harta umat Islam yang tidak dituntut adalah sebanyak RM3,667 setiap orang Islam di negara ini yang berjumlah 18 juta orang.

Jumlah yang terkumpul ini mampu membantu mengembangkan ekonomi ummah sekiranya boleh disalurkan dalam sektor yang produktif.

Walaupun tiada statistik rasmi yang dikeluarkan, adalah dipercayai bahawa harta orang bukan Islam yang masih tidak dituntut juga agak besar jumlahnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131112/ke_02/Penyelesaiankemelut-harta-pusaka#ixzz2wbrtyEx4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Share on Google Plus

About azizie

Penulis berpengalaman luas dalam pengurusan dan perancangan harta pusaka Islam. Pernah mengikuti Kursus Pengajian Syariah Sepanjang Hayat anjuran Fakulti Pengajian Syariah, UKM. Kini sedang menuntut Pengajian Fiqh Mawarith di UIAM.

0 comments :

Post a Comment