Smiley face

Apa itu WASIAT?

DEFINISI WASIAT



Dari segi bahasa, wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahasa ia berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semas hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak.

Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, wasiat ialah iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan hukum syarak, selepas dia mati.

Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 iaitu iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.


PENSYARIATAN WASIAT

Wasiat disyariatkan melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Pada peringkat permulaan Islam, seseorang itu diperintahkan berwasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 180 yang bermaksud:

“Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.

Namun kebanyakan para sahabat antaranya Saidina Abu Bakar, Ali, Ibn Umar dan Mazhab Sunni yang empat termasuk Imam Syafie berpendapat bahawa hukum wajib ini TELAH DIMANSUHKAN dengan turunnya ayat-ayat al-Mawarith (ayat 11, 12, dan 176 surah al-Nisa’) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian-bahagian yang telah ditetapkan ke atas waris-waris dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu, perintah wajib tersebut telah dimansuhkan namun perbuatan wasiat itu menjadi suatu perbuatan yang digalakkan (disunatkan) masih kekal dan sebaik-baiknya hendaklah wasiat itu ke atas keluarga yang miskin atau anak-anak yatim yang tidak berhak mendapat harta pusaka.

Firman Allah S.W.T lagi dalam surah al-Ma’idah ayat 106 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kamatian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian”.

Terdapat juga hadis-hadis yang menggalakkan seseorang itu membuat wasiat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tiada hak (patut) bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya” (Hadis riwayat al- Bukhari dan Muslim).


HUKUM BERWASIAT

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa pada peringkat permulaan Islam hukum berwasiat adalah wajib (lihat ayat 180 Surah al-Baqarah), namun hukum berkenaan TELAH DINASAKHKAN (MANSUH) oleh ayat al-mawarith (ayat 11, 12, dan 176 Surah al-Nisa’). Walaubagaimanapun, amalan wasiat masih lagi digalakkan dengan had maksimum 1/3 harta
pusaka dan ditujukan kepada bukan waris.

Mengikut pendapat mazhab sunni yang empat dan al-Zaidiyyah bahawa sesungguhnya wasiat itu tidak difardukan ke atas setiap orang yang mempunyai harta dan tidak juga difardukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris, akan tetapi hukumnya adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, contohnya seperti berikut:

WAJIB – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.

SUNAT – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.

HARUS – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.

MAKRUH – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.

HARAM – jika berwasiat kepada perkara yang haram.


RUKUN DAN SYARAT WASIAT

Wasiat mempunyai rukun dan syarat seperti berikut:
(i) Pewasiat (Musi)
Pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan dengan pilihan sendiri serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan.

Menurut Seksyen 6, Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 memperuntukkan bahawa seorang pewasiat hendaklah telah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal, bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa serta tidak dilarang daripada menguruskan hartanya.

(ii) Penerima wasiat (Musa lahu)
Penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali). Penerima wasiat juga boleh terdiri daripada golongan fakir miskin, ulamak, masjid, sekolah dan sebagainya yang berbentuk umum dan tidak dikhususkan, tetapi wasiat tersebut bukanlan bertujuan maksiat.

(iii) Harta yang diwasiatkan (Musa bihi)
Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan).

(iv) Sighah (Ijab dan Qabul)
Sighah wasiat boleh berlaku sama ada secara sarih atau kinayah dan sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat. Antara syarat sighah adalah seperti berikut:
- Qabul atau penerimaan dianggap sah jika dibuat selepas kematian pemberi wasiat.
- Penerimaan atau penolakan yang dibuat pada masa hidup pemberi wasiat tidak dikira.
- Penerimaan oleh penerima wasiat tidak disyaratkan dengan segera apabila telah berlaku kematian pemberi wasiat.
- Sesuatu wasiat itu tidak memerlukan penerimaan sekiranya ia untuk pihak yang umum yang tidak ditentukan seperti wasiat untuk fakir miskin dan ulamak.
- Jika wasiat itu untuk seseorang yang khusus atau orang-orang yang tertentu yang terhad bilangannya maka disyaratkan penerimaan atau persetujuan penerima wasiat sebagai bukti penerimaan kerana ada kemungkinan penerima wasiat menolak wasiat
tersebut. Jika berlaku penolakan daripada penerima wasiat maka dikatakan wasiat itu batal.
- Pewasiat boleh meletakkan syarat dalam wasiatnya tetapi hendaklah tidak menyalahi syarak. Pemberi wasiat boleh berwasiat kepada bayi yang masih dalam kandungan dengan syarat bayi tersebut wujud pada masa wasiat itu dibuat dan bayi itu hendaklah
dilahirkan hidup.
- Sekiranya penerima wasiat meninggal dunia selepas pewasiat tetapi belum sempat menyatakan sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut, maka waris penerima wasiat boleh sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut.

Sumber : JAKIM
Share on Google Plus

About azizie

Penulis berpengalaman luas dalam pengurusan dan perancangan harta pusaka Islam. Pernah mengikuti Kursus Pengajian Syariah Sepanjang Hayat anjuran Fakulti Pengajian Syariah, UKM. Kini sedang menuntut Pengajian Fiqh Mawarith di UIAM.

0 comments :

Post a Comment